top of page

2g1: Orang Asli Pengenalan Penduduk Orang Asli berjumlah kira-kira 217,000, mengikut anggaran tahun 2019. Terdiri daripada 18 suku kaum yang tersebar di seluruh kawasan luar bandar semenanjung Malaysia, mereka kekal sebagai antara kumpulan terpinggir yang paling miskin dan paling kurang bernasib baik di negara ini. Mereka kekurangan kemudahan asas seperti elektrik, bekalan air bersih, jalan bertar ke kampung mereka, akses ke klinik kesihatan dan pendidikan. Selama beberapa dekad, hak mereka sebagai Orang Asli telah dicabuli kerana tiada pengiktirafan rasmi hak mereka ke atas wilayah tanah adat, yang kebanyakannya dimiliki oleh kerajaan walaupun tanah dan undang-undang adat Orang Asli telah wujud lama sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Malaysia menerima pakai Deklarasi PBB mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) pada tahun 2007 tetapi terus ketinggalan dalam melaksanakannya kerana Orang Asli menghadapi pergelutan berterusan terhadap peningkatan pencerobohan tanah adat mereka untuk aktiviti ekonomi seperti pertanian, pembalakan, hidro-empangan elektrik dan pelancongan. I: Pengiktirafan Tanah & Wilayah Adat Kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri tidak mengutamakan isu ini, sekali gus menjadikannya kebimbangan berlanjutan. Alasan yang sering digunakan oleh kerajaan persekutuan ialah hal tanah bukan di bawah bidang kuasanya tetapi di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. 1. Kenakan moratorium ke atas projek pihak ketiga yang melibatkan tanah adat Orang Asli. Memandangkan kemungkinan projek pihak ketiga yang belum selesai melibatkan tanah adat Orang Asli telah dirancang tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka, projek tersebut harus dihentikan sehingga proses pengiktirafan tanah selesai. 2. Sediakan suruhanjaya khas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), dalam Laporan Siasatan Nasional 2015 ke atas Hak Tanah Orang Asli/Asal di Malaysia, mengesyorkan 64

penubuhan Suruhanjaya Kebangsaan bebas mengenai Orang Asli/Asal yang terdiri daripada pakar individu dan pihak berkepentingan yang berkaitan. Fungsi Suruhanjaya ini adalah, antara lain, untuk mengkaji pengiktirafan serta penggalakkan dan perlindungan hak Orang Asli ke atas tanah dan identiti. 3. Kerajaan persekutuan dan negeri mesti mempunyai tanggungjawab yang sama dan bersama ke atas tanah adat Orang Asli. Tanah dan alam sekeliling mereka adalah asas kepada adat budaya, kepercayaan dan identiti kolektif Orang Asli, justeru kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri harus sama-sama bertanggungjawab supaya pengiktirafan wilayah tanah adat Orang Asli dapat dipercepatkan tanpa berlengah lagi. (Tijah Yok Chopil, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Cadangan 2G1-1) 4. Pinda dan harmonikan undang-undang sedia ada yang memberi kesan kepada Orang Asli untuk melindungi tanah adat mereka, dan gubal undang- undang baharu untuk menjamin hak mereka. Orang Asli terpaksa pergi ke mahkamah untuk menuntut tanah adat mereka. Walaupun telah banyak memenangi kes, kerajaan tidak mengambil peduli tentang isu asas ketidakadilan yang didedahkan. Kerajaan harus membuat undang-undang baharu untuk menangani kelemahan dalam mentadbir tanah Orang Asli, dan mengharmonikan semua undang-undang yang berkaitan supaya selaras dengan pengiktirafan tanah dan wilayah adat. Isu pengiktirafan tanah mesti diselesaikan untuk mengelakkan kehilangan atau ketidakseimbangan tanah berlanjutan, seperti pertindihan tanah Orang Asli dengan pewartaan kawasan perlindungan (cth. hutan dan rizab hidupan liar dan taman negara). Pengiktirafan tanah dan wilayah adat akan memastikan kesinambungan amalan adat budaya, kepercayaan, pengetahuan tradisional, identiti, sejarah dan legenda nenek moyang. Orang Asli juga boleh membangunkan ekonomi mereka di tanah wilayah adat dengan selamat. Orang Asli mesti diberikan hak untuk menentukan nasib sendiri. II: Projek Pembangunan Satu prinsip penting UNDRIP, yang mana Malaysia sebagai penandatangan, adalah bebas, persetujuan awal dan termaklum. Kerajaan harus mengamalkan prinsip ini 65

dengan memastikan semua keputusan yang melibatkan pembangunan, kemajuan dan pengambilan tanah wilayah Orang Asli adalah telus dan mengambil kira keputusan masyarakat itu sendiri. 5. Pastikan program pembangunan dirancang dan diselaraskan secara berhati-hati. Penggubal dasar untuk pembangunan Orang Asli harus duduk semeja untuk menyelesaikan rancangan bercanggah yang sebaliknya akan mengakibatkan projek tidak selesai atau ibarat melepaskan batuk di tangga. Daripada mengambil pendekatan berdiam diri, penggubal dasar dan penyelaras program harus berbincang antara satu sama lain dan berkongsi maklumat, dengan Orang Asli juga, untuk memastikan semua program pembangunan yang direka untuk masyarakat benar- benar bermanfaat kepada mereka, dilaksanakan secara bertanggungjawab dari segi kos dan berkualiti, dan siap. Sebagai contoh, walaupun Kerajaan telah mengketepikan kuota perumahan untuk Orang Asli di bawah Program Perumahan Miskin Tegar (PPRT), ia biasanya tidak berkualiti, dan infrastruktur serta reka bentuk unit perumahan tidak sesuai dengan cara hidup semula jadi mereka. 6. Pastikan projek yang dirancang siap. Projek pembangunan dan ekonomi yang gagal atau tertangguh untuk Orang Asli adalah perkara biasa. Banyak kampung tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap atau berkualiti–contohnya, tiada bekalan elektrik walaupun tiang utiliti elektrik telah dipasang; atau pendawaian sedia untuk dipasang tetapi tiang tiada di tempatnya; atau paip air telah disiapkan tetapi masih tiada bekalan air. 7. Rujuk dan maklumkan kepada masyarakat setempat tentang sebarang cadangan projek pembangunan tanah. Selalunya, projek pembangunan tanah di kawasan Orang Asli dicadangkan atau dilaksanakan tanpa sebarang perundingan atau persetujuan daripada masyarakat setempat, dan kemudiannya, seperti ditinggalkan tanpa penjelasan. Tiada pemantauan atau pemberitahuan rasmi diberikan kepada masyarakat setempat tentang kemajuan projek itu, dan apabila akhirnya gagal atau terbengkalai, semua yang terlibat akan menuding jari antara satu sama lain, tanpa sesiapa yang bertanggungjawab. Oleh itu, sebarang perancangan projek pembangunan tanah haruslah melalui perundingan supaya memastikan projek tersebut siap, dan akauntabiliti kepada masyarakat setempat dipastikan. 66

(Tijah Yok Chopil, JKOASM, Cadangan 2G1-1) III: Pembangunan Ekonomi Tanah adalah isu dasar utama yang dikaitkan dengan semua masalah Orang Asli. Jika isu ini dapat diselesaikan, perkara lain seperti ekonomi, pendidikan, keselamatan, pembangunan dan sebagainya boleh diselesaikan juga. (Tijah Yok Chopil, JKOASM, Cadangan 2G1-1) 8. Benarkan Orang Asli memohon bantuan kerajaan dan lesen atau sijil yang diperlukan. Orang Asli tidak dapat memohon bantuan kerajaan daripada agensi seperti Jabatan Pertanian untuk meningkatkan ekonomi mereka, kerana tanah mereka dianggap 'haram'. Tanpa lesen yang diperlukan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan sijil daripada Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari, penanam Orang Asli tidak boleh menjual hasil kelapa sawit mereka. Fleksibiliti mesti diberikan kepada mereka untuk mendapatkan lesen dan sijil tersebut melalui Tok Batin (ketua masyarakat) komuniti mereka setelah mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli bahawa tanah yang diusahakan adalah dalam wilayah adat Orang Asli. IV: Kebebasan Beragama Di sebalik jaminan Kebebasan Beragama dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, masih terdapat kes Orang Asli memeluk Islam secara tidak disedari atau dengan tipu daya oleh pegawai pendaftaran, guru, antara lainnya. Dalam kebanyakan kes, individu berkenaan hanya akan menyedari penipuan yang telah dilakukan ke atas mereka apabila diminta untuk mengemukakan MyKad atau sijil kelahiran mereka untuk tujuan rasmi, dan mendapati Islam dinyatakan sebagai agama mereka. Orang Asli mempunyai hak untuk menganut kepercayaan nenek moyang mereka dan tidak dipaksa atau diperdaya untuk memeluk agama Islam. Namun, membatalkan kes sebegini adalah tindakan birokrasi yang menelan belanja yang mahal dan memakan masa. Malah terdapat rancangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan untuk mengislamkan semua Orang Asli di negeri itu menjelang 2049. 67

9. Hentikan pengislaman tanpa rela, permudahkan pembatalan pertukaran agama tersebut. Usaha pemelukan Islam Orang Asli secara paksa begitu juga penukaran agama lain secara paksa mesti dihentikan. Proses mengeluarkan status agama Islam daripada MyKad dan sijil kelahiran mereka dalam kes sedemikian hendaklah dipermudahkan. 68

Sila isi semua ruangan
Maaf Anda telah menyerahkan data anda
Sila isi semua ruangan
Index
First Name
Last Name
Organisation
Submission Date
bottom of page